KUALA LUMPUR - Cubaan pembangkang untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berjaya keranan keutuhan parti-parti yang bernaung di bawahnya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengakui walaupun ada percubaan untuk menganggu gugat pentadbiran kerajaan, namun kedudukan Perdana Menteri semakin hari semakin kuat dan kukuh.
“Setiap hari mereka kata kerajaan akan tumbang dan akan ada perubahan Perdana Menteri, tetapi hakikatnya pada hari ini kerajaan berada dalam satu kedudukan yang kukuh dan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan hari ini memberikan komitmen bahawa mereka akan mengekalkan kerjasama ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahun Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan di Jalan Yew pada Ahad.
Jelasnya, komitmen itu juga banyak datangnya dari Pakatan Harapan (PH) yang mempunnyai empat gabungan parti iaitu PKR, Amanah, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
“Sokongan itu turut diberikan oleh Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, begitu juga dengan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya
Anthony berkata, dalam tempoh empat tahun akan datang sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 nanti, pihaknya yakin pelbagai dasar yang telah direncanakan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
“Beberapa dasar telah diumum dan telah dilancarkan termasuklah dasar peralihan tenaga, dasar ekonomi Madani semua itu telah pun ada kerangkanyanya tapi yang penting adalah pelaksanaan dasar itu yang akan mengubah landskap negara kita sekali gus dapat membawa pembangunan ekonomi yang lebih baik.
“Dalam portfolio saya di Kementerian Pengangkutan sudah tentu perkara yang belum diberi perhatian adalah bagaimana kita perlu membudayakan pengunaan pengangkutan awam terutama di Lembah Klang dan Kuala Lumpur.
“Ini kerana perkara yang memberi masalah adalah kesesakan jalan raya dan kerajaan ada satu jawatankuasa Kabinet khusus mengenai kesesakan jalan raya.
“Antara perkara yang akan diambil kira adalah untuk perkasakan perkhidmatan awam iaitu bas di Kuala Lumpur,” ujarnya.