Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Geely mahu buka universiti di Proton City


IPOH – Syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd atau Geely berminat untuk membuka sebuah universiti antarabangsa di Proton City, Tanjung Malim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya melalui sesi pertemuan dengan Pengarah Eksekutif Kumpulan Geely, Dr. Wei Mei, di pejabatnya pada Selasa minggu lalu.

Katanya, perancangan pembukaan institusi pengajian tinggi itu bakal melahirkan lebih ramai bakat muda sama ada dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mahupun teknologi automotif.


“Mereka belum datang dengan perancangan yang konkrit (masih di peringkat cadangan awal). Akan tetapi kerajaan negeri telah menerimanya dan sudah mencadangkan beberapa tapak cadangan pembinaanya.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pun ada menyebut, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga akan menerima kebaikan daripada pembinaan sebuah universiti swasta antarabangsa di daerah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Dewan Belia Sesi 2023/2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Saarani berkata, nilai pelaburan berjumlah RM32 billion melalui projek pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) itu bukan sahaja akan memberi limpahan ekonomi terhadap daerah Muallim, malah ia akan turut hingga ke Batang Padang.

Menurut beliau, cadangan pembukaan universiti yang diusulkan Geely itu dilihat akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu.

Dalam perkembangan lain, Saarani memberitahu, kerajaan negeri telah mengenal pasti lokasi tepat yang bersesuaian bagi membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian.

Tanpa mendedahkan secara terperinci, beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri telah bersetuju dengan perkara itu baru-baru ini.

“Perkara itu telah diserahkan kepada Kementerian Ekonomi melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.- MalaysiaGazette