Kuala Terengganu: Kerajaan negeri mengalami kekurangan hasil kutipan cukai sebanyak RM82.5 juta sejak 2018 hingga tahun ini akibat melaksanakan manifesto mereka sejak menang PRU14 lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kehilangan hasil cukai pintu itu selepas mengambil alih pentadbiran Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam itu berkata, pihaknya melakukan pengecualian kutipan pintu rumah kediaman sebaik memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Pengecualian cukai pintu rumah kediaman adalah antara manifesto Pas yang ditawarkan dalam PRU14 pada 2018.
"Apabila kita berjaya memenangi PRU14 itu, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melaksanakan manisfesto terbabit kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) berapakah jumlah hasil kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip oleh kerajaan negeri sejak manifesto dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Wan Sukairi berkata, sepanjang tempoh itu sepatutnya akan dikutip tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Beliau berkata, mengikut data pada 2018, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta, tahun 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta).
"Pada 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta.," katanya.
Dalam masa sama, menjawab soalan tambahan Khazan, adakah kerajaan negeri berhasrat membuat kutipan cukai pintu rumah kediaman itu secara bersasar selepas ini kerana jumlah kehilangan hasil itu agak besar, Wan Sukairi berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.
"Kita akan kaji cadangan yang diterima sebelum membuat keputusan walaupun kita (kerajaan negeri) terima banyak cadangan supaya cukai pintu ini dibuat secara bersasar," katanya.