SUNGAI BULOH – Kematian seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui semalam di sebuah anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai disahkan dibunuh.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut kerana terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Katanya, hasil bedah menemui kesan kecederaan pada leher dan badan.
“Kita buka kertas 302 Kanun Keseksaan. Kecederaan dikesan pada leher dan badan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Malam tadi, Kosmo! melaporkan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada pukul 10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dilaporkan berkata kes diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR) sebelum sebarang keputusan diperoleh.
Kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang sejak tengah hari kelmarin dan kali terakhir ditemui adalah ketika memasuki kawasan belukar berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.
Penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut di kawasan sekitar kelibat kanak-kanak itu dilihat.
-KOSMO! ONLINE.