Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerajaan umum tol percuma Isnin depan


KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung implikasi perbelanjaan sebanyak RM40 juta bagi pemberian tol percuma selama dua hari sempena perayaan Krismas yang akan disambut Isnin depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Kabinet telah bersetuju untuk memberikan pengecualian tol pada 23 Disember dan 26 Disember kepada semua kenderaan di semua lebuh raya.

Bagaimanapun menurutnya, ia tidak termasuk Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor.


“Pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ahmad berkata, pemilihan kedua-dua tarikh bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke rumah masing-masing

Ia juga bagi mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah dan kawasan rehat dan rawat di lebuh raya.

“Diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Pengguna juga perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya,” tambah beliau.

Sementara itu, Ahmad menegaskan, bukan syarikat konsesi yang menanggung semua implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada setiap perayaan sebaliknya dibayar oleh kerajaan.

Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun ini sahaja, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali RM42.31 juta dan Tahun Baru Cina RM41.21 juta. 

– MalaysiaGazette