Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes ibu tunggal hilang, polis tahan teman lelaki


BATU PAHAT: Seorang pemuda dipercayai teman lelaki seorang ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 34, yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu kini ditahan reman disiasat atas kesalahan menculik. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia  24 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menculik. 

Menurutnya, di bawah seksyen tersebut, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.


“Saya mengesahkan penahanan pekerja sebuah syarikat kurier itu pada 25 Disember lalu dan ditahan reman hingga 31 Disember ini. 

“Sebelum itu lima individu sudah dipanggil untuk diambil keterangan, manakala lelaki berkenaan disoal siasat sebanyak dua kali sebelum ditahan reman,” katanya hari ini.

Menurut Ismail, polis masih menjalankan siasatan terhadap lelaki berkenaan kerana dia merupakan individu terakhir bersama-sama Mira Sharmila atau lebih dikenali sebagai Bella pada pukul 11.50 malam pada hari kejadian. 

Dalam pada itu, penemuan pakaian tidak dibasuh di dalam bakul yang sepatutnya dicuci di kedai dobi layan diri dalam rumah Bella menimbulkan tanda tanya.

Malah, telefon bimbit yang digunakan Bella kali terakhir dapat dihubungi pada pukul 11.45 malam, iaitu lima minit sebelum dilihat keluar bersama-sama teman lelakinya dengan menaiki kereta Toyota Vios berwarna putih. 

Dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari rumah jirannya juga menunjukkan Mira Sharmila membawa beg duit ketika keluar dari rumah. 

Namun agak menghairankan beg duit dan dua bentuk cincin yang tersarung di jari Ibu tunggal beranak dua itu ditemukan di atas meja ruang tamu rumah mangsa. 


– UTUSAN