Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Langgar Pelajar: 'Dia langsung tak minta maaf, hanya isteri'


IPOH: ‘Dia (pegawai polis) langsung tak minta maaf. Isteri dia ada berjumpa dengan saya sewaktu di tempat kejadian. Datang memohon maaf’.

Itu kata Nur Zawanie Muhd Zamrie, 28, kakak kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini yang maut dilanggar kereta  pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP).

Menurut Nur Zawanie, wanita itu yang merupakan isteri kepada pegawai polis berkenaan memohon maaf kepadanya  ketika datang ke  lokasi kejadian adiknya dilanggar di Jalan Taman Jati dekat Meru Jumaat lalu.


Katanya, isteri DSP itu  juga  guru yang mengajar di sekolah adiknya dan beliau juga mengenali Zaharif  dan keluarganya.

“Ketika saya tiba di lokasi kejadian, adik saya masih sedar. Dia masih boleh bercakap sikit-sikit, namun sesak nafas. Semasa itu saya sampai, saya memang nampak pelakunya di situ.

“Si pelaku tidak menawarkan apa-apa pertolongan, nak telefon ambulans kah, nak memohon maaf kah, atau  nak mengaku, tiada. 

“Isteri dia ada berjumpa dengan saya sewaktu di tempat kejadian. Datang memohon maaf. Ini verbally, isteri dia cakap dekat saya, ‘Maaf, minta maaf,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah di Taman Chepor Sentosa di sini hari ini.

Turut berada di rumah tersebut ialah bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, dan ibu mangsa, Mimi Julia Ismail, 50, serta abang mangsa, Zarul Fitri, 29, 

Nur Zawanie kesal kerana kejadian itu melibatkan seorang pegawai polis.

Katanya, begitu pun itu bukan alasan untuk pegawai polis itu bertindak sesuka hati.

“Andai kata adik saya salah, dia masih ada waris, ibu bapa dan keluarga. Andai kata dia terlanggar kereta, boleh jumpa keluarga saya. 

“Bukannya isteri pelaku tak kenal adik dan keluarga saya. Isteri dia adalah cikgu di sekolah itu, dia kenal Zaharif itu adalah anak kepada mak ayah saya. 

“Sebelum ini kalau ada kes atau apa apa perkara, guru-guru datang mengadu pada kami.  Kalau dia buat salah, kenapa tak datang jumpa.

“Saya cuma berharap polis menjalankan siasatan yang telus. Jangan disebabkan dia anggota yang berpangkat, siasatan tidak dijalankan dengan telus,” katanya.

Sementara itu, Zarul Fitri berkata, adiknya ada menunjukkan tanda-tanda ganjil sebelum kejadian semalam.

Katanya, adiknya dilihat gemar makan pada tengah malam.

“Apabila dia sudah tiada, baru kami terkenang semula apa yang dia buat. Sebelum dia meninggal ini, dia suka makan tengah malam, dia habiskan susu saya dalam peti sejuk, dia suka makan mi segera Maggi. Saya ada tegur dia kenapa makan tengah malam sebab tak elok.

“Saya tegur begitu sahajalah, tapi rupanya itu tanda dia mahu meninggalkan kami,” katanya.


- UTUSAN