PETALING JAYA: Siasatan diteruskan polis di lokasi kediaman Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai yang hilang sebelum ditemui mati dibunuh.
Sepasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 9.30 pagi dipercayai bagi mencari bukti baharu untuk menjejaki pembunuh. Operasi itu kemudian ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah hari.
Difahamkan, usaha mengesan bukti tersebut akan bersambung pada pukul 3 petang ini yang mana turut membabitkan pasukan Unit Forensik.
Meskipun sudah memasuki hari ke-11 anggota polis melakukan siasatan, tumpuan masih terarah pada Blok R yang mana lokasi terakhir Zayn Rayyan dilihat sebelum dilaporkan hilang.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, proses mengesan bukti masih giat dijalankan khususnya di kawasan blok kediaman mangsa.
Tambah Hussein, sebanyak 172 individu sudah dirakam keterangan yang mana membabitkan ibu bapa, saksi, jiran dan penduduk sekitar.
Terdahulu, Hussein mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Justeru, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana ada unsur jenayah.
Pada 6 Disember, Utusan melaporkan mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan mengiring di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada pukul 10 malam.
– UTUSAN