Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Zayn Rayyan: Polis mohon bantuan Interpol berkaitan DNA


Polis telah meminta bantuan Interpol dalam kes bunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin selepas siasatan bergelut untuk mendapatkan lebih banyak bukti bagi mengesan pihak terlibat.

Menurut Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, pihaknya telah meminta Interpol untuk membuat semakan dalam pangkalan data terhadap sekurang-kurangnya satu profil DNA yang ditemui ketika siasatan.

"Kita ada minta bantuan daripada Interpol (untuk semak) pangkalan data sebab (polis) ada beberapa maklumat, walaupun bukan konklusif, tapi boleh bantu siasatan kita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.


Hussein kemudian mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa maklumat yang disemak dengan pihak Interpol berkaitan DNA yang dikesan polis ketika siasatan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pihak berkuasa mengesan beberapa sampel DNA dan cap jari ketika prosedur bedah siasat terhadap mayat Zayn Rayyan awal bulan ini.

Namun tidak jelas berapa DNA dan cap jari yang dikesan itu.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada tengah hari 5 Disember lalu.

Dia dan ibunya dilaporkan menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga ketika wanita itu mendapati anaknya gagal dikesan.

Dia kemudian cuba mencari anaknya dan kemudian meminta bantuan orang ramai di Facebook.

Pihak berkuasa kemudian memulakan usaha mencarinya dengan bantuan penduduk setempat.

Namun mangsa gagal ditemukan menyebabkan polis melancarkan operasi mencari dari rumah ke rumah pada petang 6 Disember. Mayat mangsa ditemukan berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari rumah, kira-kira jam sepuluh malam.

Dalam sidang media hari ini, Hussein berkata polis berdepan tugas sukar untuk menyelesaikan kes bunuh tersebut.

Setakat ini, katanya, maklumat yang diperolehi yang dapat membantu siasatan adalah "sangat minimal".

Antaranya polis masih tidak menemui tempat kejadian jenayah yang utama, katanya lagi.

"Tempat kejadian yang kita jumpa (mangsa) adalah tempat kejadian jenayah yang kedua. Secara asasnya kita kurang dapat keterangan fizikal (di situ) untuk kaitkan dengan penjenayah.

"Jadi, dalam kes ini satu cabaran bagi polis untuk mengesan keterangan-keterangan sehingga tertangkapnya suspek atau mereka yang terlibat," katanya lagi.

Ia walaupun polis telah melancarkan operasi besar-besaran untuk mencari lebih banyak petunjuk, seperti pencarian dari rumah ke rumah, mengambil banyak sampel DNA dan menyemak rakaman CCTV di kawasan sekitar.

Hussein berkata setakat ini polis telah mengambil sebanyak 248 sampel DNA dan merakam keterangan 225 individu.

Dia berkata samel DNA telah dihantar ke jabatan kimia namun tidak banyak keputusan positif yang dapat membantu siasatan.

Namun dia menegaskan polis tidak berhenti mencari lebih banyak bukti dan memberi jaminan siasatan akan terus dibuat sehingga pesalah dikesan.

"Kita tak akan putus asa. Kita percaya kita akan jumpa walaupun bukan sekarang...Kita akan teruskan usaha ini sehingga jumpa pihak yang terlibat," katanya lagi.