Kuala Lumpur: Penyanyi bergelar Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau meninggal dunia pada usia 85 tahun di Hospital Teluk Intan, Perak, jam 4.40 petang tadi.
Berita ini disampaikan oleh anaknya, Ahmad Zain kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).
Terdahulu, menerusi temubual sebelum ini Allahyarham mengakui tidak sihat, kebas kaki dan tangan, namun menganggap ia sekadar sakit orang tua.
Pernah juga tular mesej mengatakan penyanyi lagu Cek Mek Molek ini meninggal dunia pada Julai lalu namun segera dinafikan oleh pihaknya.
Sebelum ini, berita palsu kononnya bintang veteran itu meninggal dunia sudah beberapa kali terjadi antara Januari 2016 dan September 2022, kedua-duanya adalah sewaktu beliau dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan kerana mengadu sukar membuang air kecil dan alami paru-paru berair.