Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Maxis tawar lebih data pada harga rendah untuk pakej 5G berbanding 4G


Maxis, syarikat telekomunikasi nombor satu negara, kini menawarkan lebih banyak data 5G kepada pelanggan tanpa sebarang tambahan kos. 

Ini berlaku hanya empat bulan selepas pengenalan pelan Maxis 5G pasca bayar baharu, yang menampakkan perubahan besar dalam industri telekomunikasi dan menunjukkan kejayaan formula Rangkaian Borong Tunggal (SWN) yang dipacu oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Sebagai respons kepada perjanjian akses 5G yang ditandatangani dengan DNB baru-baru ini, Maxis telah memperbaharui pelan pasca bayarnya yang bermula daripada RM79 sebulan. 


Ketika pelan Maxis 5G Pasca Bayar yang baharu diperkenalkan, mereka menawarkan peruntukan data yang cukup besar, dengan pelan asas menawarkan 120GB data (80GB 4G/5G + Bonus 40GB 5G), manakala pelan tertinggi memberikan 300GB data (200GB 4G/5G + Bonus 100GB 5G).

Namun, ini tidak berakhir di situ. Bermula pada 14 Disember 2023, Maxis telah mengambil langkah besar lain dengan meningkatkan pelan pasca bayar 5G yang baharu dengan data bonus yang lebih banyak lagi. 

Pelanggan pelan Maxis Postpaid 79 asas, sebagai contoh, kini akan menikmati 160GB data yang terdiri daripada 80GB (4G/5G) dan Bonus 80GB (5G). 

Manakala pengguna pelan Postpaid 199 tertinggi akan menyaksikan peruntukan data mereka meningkat sehingga ke 1,200GB (200GB 4G/5G + Bonus 1,000GB 5G).

Peningkatan ini, menurut Maxis, akan dilaksanakan dengan bermula dari 14 Disember hingga 20 Disember 2023. Pelanggan akan dimaklumkan sebaik sahaja penaiktarafan selesai, memastikan mereka boleh dengan segera menggunakan data yang baru diperolehi.

Lebih baik lagi, tidak akan ada perubahan dalam komitmen bulanan, menjadikannya peningkatan yang kekal dan efisien daripada segi kos untuk pelanggan Maxis. 

Selain itu, Maxis turut memenuhi janji akses 5G percuma untuk pelanggan pelan pasca bayar 4G yang sedia ada, menghapuskan keperluan untuk bayaran bulanan tambahan RM10

Dalam pada Maxis mempromosikan peningkatan data yang signifikan ini, adalah penting untuk kita merenung tentang gambaran yang lebih besar di sebaliknya - formula SWN dan peranan DNB. 

Kejayaan formula ini jelas terlihat melalui kemampuan Maxis untuk menawarkan lebih banyak data dengan harga yang lebih rendah kepada pelanggan mereka, menjadikan perkhidmatan 5G lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat di setiap pelusuk negara.

Justeru, kejayaan ini juga menimbulkan persoalan tentang kawalan DNB dan peranannya dalam menggerakkan pelaksanaan 5G. 

Keputusan melulu untuk mencipta entiti kedua dalam pelaksanaan 5G yang dicetuskan oleh Fahmi Fadzil secara tergesa-gesa selepas dilantik sebagai menteri, harus dinilai semula dengan teliti. Langkah ini berpotensi untuk memusatkan lebih banyak kuasa di tangan syarikat telekomunikasi gergasi, yang pada boleh membahayakan kedaulatan data negara, terutamanya jika organisasi yang diselubungi pelbagai kontroversi seperti Huawei dibenarkan masuk.

Ditambah pula dengan dakwaan terbaru bahawa MCMC, di bawah Kementerian Komunikasi yang diterajui Fahmi Fadzil, cuba untuk ‘menapis’ penulisan bersifat kritikal terhadap beliau di media sosial, terdapat unsur-unsur kawalan kuasa melampau pada era digital yang memerlukan sokongan kepada keterbukaan maklumat, walaupun bersifat kutukan dan kritikan terhadap individu bersama pemerintah. 

Ini adalah kesinambungan kepada ‘ugutan’ secara bersahaja mahu menghantar ‘radio car’ kepada sesiapa yang mengkritik beliau, selain daripada dakwaan, kementerian beliau sebelum ini meminta TikTok memadam mana-mana video yang tidak mesra Kerajaan Madani.


Mengambil kira konteks perkembangan terbaharu ini, adalah penting untuk menempatkan DNB di bawah Kementerian Digital, di bawah pimpinan menterinya yang baru dilantik, Gobind Singh Deo. 

Beliau bukanlah asing dengan agenda 5G ini, malahan perbincangan awal untuk melaksanakan 5G di Malaysia bermula ketika beliau memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia pada tahun 2019. 

Pada waktu itu, ramai yang memuji beliau dalam menjadikan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini dalam melaksanakan 5G. Beliau juga telah memperlihatkan ketrampilan kepimpinan beliau melalui kejayaan menurunkan harga langganan jalur lebar sehingga 25% dengan pengenalan Pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) dan perluasan capaian internet di seluruh negara melalui program Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP). 

Langkah strategik ini akan memastikan bahawa agenda digital negara yang dicanang Perdana Menteri, dilaksanakan dengan jayanya serta bagi melindungi masa depan teknologi dan keselamatan data Malaysia.

Peningkatan tawaran data 5G oleh Maxis adalah bukti kejayaan formula SWN dibawah DNB dan potensi teknologi 5G di Malaysia. Masa depan teknologi 5G Malaysia bergantung pada kebijaksanaan dan kesedaran kita sebagai rakyat. 

Keputusan yang dibuat hari ini akan membentuk lanskap teknologi Malaysia untuk generasi mendatang. Adakah kita bersedia untuk menghadapi cabaran ini dengan bijak dan berkesan? Apakah tindakan yang betul dalam menghadapi teknologi 5G? 

Adakah kita mahu lebih banyak kuasa diberikan kepada syarikat telekomunikasi atau kita mahu mengekalkan kawalan dan kedaulatan negara ke atas data kita sendiri? Itu adalah soalan yang hanya masa yang akan mampu menjawabnya.