Mayat adik Zayn Rayyan ditemui 30 minit selepas operasi geledah 2,484 rumah dimulakan
Labels:
Isu Semasa
PETALING JAYA: Mayat budak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ditemui selepas pihak polis bersama hampir 200 penduduk menyusun beberapa kumpulan untuk mencari dan menyelamat mangsa.
Bermula jam 9 malam tadi, pihak polis diketuai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, dan pegawainya mewujudkan 18 kumpulan untuk memeriksa 2,484 unit kediaman di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.
Selepas sesi taklimat di Dewan Orang Ramai, Blok L, Apartment Idaman, sejumlah 18 kumpulan dengan setiap kumpulan disertai tiga anggota polis memulakan pemeriksaan sekitar jam 9.40 malam.
Wartawan BH kemudian mengikuti Mohamad Fakhrudin bersama satu daripada kumpulan mencari, kemudian menjalankan pemeriksaan di salah sebuah blok.
Sekitar jam 10.05 malam, Mohamad Fakhrudin, menerima panggilan menyatakan Zayn sudah ditemui, namun pada waktu itu situasi sebenar sama ada kanak-kanak malang berkenaan masih bernyawa atau sebaliknya masih belum dapat dipastikan.
Wartawan BH ditemani beberapa media lain kemudian mengikuti Mohamad Fakhrudin melintasi tiga unit blok Aparment Idaman sebelum menuju ke blok kediaman keluarga mangsa.
Dari blok rumah Zayn, Mohamad Fakhrudin kemudian dibawa oleh anggotanya ke satu kawasan belukar sejauh 200 meter menuju ke kawasan anak sungai.
Di sungai itu, belasan penduduk dan anggota polis sedang berada di lokasi penemuan mayat Zayn yang sudah terbaring lengkap dengan baju dan seluar biru yang dipakainya ketika dilaporkan hilang.
Sekitar jam 10.20 malam, Mohamad Fakhrudin, mengesahkan Zayn meninggal dunia dan meminta orang ramai yang berada di kawasan mayat ditemui untuk mengosongkan lokasi berkenaan.
Langkah itu adalah bagi membolehkan proses siasatan awal polis dijalankan.