Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Menteri Luar Perancis pergi Israel desak hentikan perang segera di Gaza

Catherine Colonna (kanan) bercakap dengan jurucakap tentera Israel, Kolonel Olivier Rafowitcz setibanya di Israel pada 17 Dis 2023

TEL AVIV: Menteri Luar Perancis Catherine Colonna pada Ahad (17 Dis) tiba di Israel untuk mendesak negara itu supaya gencatan senjata yang "berkekalan" segera dilaksanakan dalam perang di Gaza.

Cik Colonna akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Israel, Eli Cohen, di Tel Aviv, sedang Israel terus menjalankan operasi tentera menyusuli serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Operasi Israel menyebabkan korban jiwa dan kemusnahan besar di Gaza.


Paris pada Sabtu (16 Dis) mengutuk serangan Israel di Gaza yang turut membunuh seorang kakitangan kementerian luar Perancis, dan kini menuntut penjelasan atas kejadian itu.

Cik Catherine dijangka bertemu dengan keluarga-keluarga para tebusan Perancis yang masih ditahan di Gaza, dan untuk menggesa agar "peperangan segera dihentikan atas sebab-sebab kemanusiaan", menurut kenyataan kementerian luar.

Langkah menghentikan peperangan buat sementara waktu seharusnya berakhir dengan gencatan senjata berkekalan. Matlamatnya pula sepatutnya membebaskan semua tebusan dan menghantar bantuan ke Gaza, menurutnya.

Israel kian berdepan tekanan dunia untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza, di mana misinya menumpaskan Hamas meragut sekurang-kurangnya 18,800 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut pihak berkuasa Hamas di Gaza.

Diplomat tertinggi Perancis itu juga akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Palestin, Riyad al-Maliki, di Tebing Barat.

Tidak lama sebelum ketibaannya di Israel, Cik Colonna mengutuk serangan bertubi-tubi Israel ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat.

"Sejak 7 Oktober, malangnya, ada pendatang, kerana membuta tuli mengikut ideologi masing-masing... melakukan jenayah" terhadap rakyat Palestin, kata beliau sambil menambah bahawa "para pendatang ini harus dihukum".

Lebih 280 rakyat Palestin dibunuh tentera Israel atau para pendatang di Tebing Barat sejak perang di Gaza tercetus pada 7 Oktober, menurut para pegawai kesihatan