SHAH ALAM – Seorang pensyarah kolej mati dibunuh suaminya sendiri menggunakan dumbbell akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak di sini, semalam.
Mangsa berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam (HSA) kira-kira pukul 5.33 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 38 tahun itu pada mulanya membawa isterinya itu ke HSA selepas dikatakan tidak sedarkan diri susulan mengalami sawan.
Katanya, bagaimanapun tembelang suspek yang bekerja sendiri itu terbongkar apabila pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kecederaan dibeberapa bahagian tubuh simati.
“Bertindak atas maklumat, suspek kemudiannya ditahan pukul 12.49 tengah hari di HSA.
“Senjata berupa sebuah dumbbell yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul isterinya turut dirampas,” katanya hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati pasangan tersebut baru berkahwin pada April lalu dan terpaksa menjalani kehidupan rumah tangga secara pasangan jarak jauh (PJJ) serta belum mempunyai anak.
Tambah Iqbal, mangsa pulang bercuti ke semenanjung untuk menghadiri perkahwinan adik iparnya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kes pukul dan dadah. Malah, hasil ujian saringan air kencing dapati suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.
Jelas beliau, permohonan reman suspek akan dibuat pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan