Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis siasat anggota tentera ugut bunuh isteri


MELAKA: Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan seorang anggota tentera memukul dan mengugut untuk membunuh isterinya di sebuah flat di Sungai Udang.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah, berkata polis mengesan video berdurasi 32 saat itu tular sejak semalam menerusi satu hantaran di pautan: https://twitter.com/malaysiaviralll/status/1740645772226703509?s=20 di aplikasi X.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 15 Disember lalu dan satu laporan polis diterima daripada seorang wanita berusia 38 tahun kerana dipukul suaminya seorang anggota tentera.

"Siasatan juga mendapati suami mangsa yang berusia 25 tahun bekerja di sebuah kem di Sungai Udang dan kejadian itu berlaku di sebuah flat di kawasan berkenaan.

"Setakat ini polis sudah memanggil lelaki itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, berdasarkan kepada laporan mangsa pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan.

Katanya seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, berdasarkan rakaman itu, kedengaran suara seorang wanita merayu-rayu supaya suaminya bertenang dan menyelesaikan isu antara mereka secara baik.

"Abang janganlah abang... tak nak... sakit, tak nak...," katanya.

Bagaimanapun, suaminya yang memakai uniform lengkap tetap berkeras dan menjerit mengarahkan isterinya masuk ke rumah dengan suara tinggi.

Lebih mengejutkan lelaki itu turut mengugut untuk membunuh isterinya dan kelihatan memegang sesuatu dan mengacukan kepada mangsa.

Kelihatan juga beberapa jiran cuba menenangkan keadaan, namun tidak dihiraukan oleh lelaki itu.