KUALA LUMPUR: Istiadat Angkat Sumpah Menteri dijadualkan akan berlangsung di Istana Negara pada jam 3 petang Selasa, menandakan rombakan Kabinet pertama di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut sumber dari Putrajaya, beberapa Menteri akan ditukar portfolio dan Jabatan Wilayah Persekutuan akan kembali dinaik taraf menjadi Kementerian.
Bagaimanapun, difahamkan rombakan ini tidak akan melibatkan lebih dari enam orang, dengan tumpuan kepada beberapa kementerian termasuk jawatan Menteri Kewangan Kedua.
Beberapa sumber yang rapat dengan koridor kuasa menjangkakan sosok yang pernah menjawat jawatan Menteri sebelum ini dijangka kembali 'beraksi' sebagai pemain utama.
Persoalan seterusnya, siapa bakal menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)?
Sumber sama turut memaklumkan, mungkin sosok teknokrat bakal diserap ke dalam Kabinet Perpaduan Kerajaan Madani.
Sekali lagi persoalannya, adakah individu tersebut adalah tokoh yang tidak asing dalam arena Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)?
Selain itu difahamkan kebanyakan Ahli Parlimen UMNO yang menjadi menteri akan terus kekal dengan portfolio kementerian masing-masing.