KEMAMAN: Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah kepada PAS walaupun keputusan rasmi PRK Kemaman belum diumum.
"Tahniah PAS atas kemenangan besar di Parlimen Kemaman. Ini bermakna Perikatan Nasional kekal mempertahankan 69 kerusi Parlimen ketika ini.
"Manakala Kerajaan Perpaduan kekal didokong 152 Ahli Parlimen. Tiada apa-apa perubahan kepada Kerajaan Perpaduan.
"Sekarang boleh fokus segala usaha membela kebajikan rakyat dan memacu kembali ekonomi negara.
"Buat semua pengundi setia BN, terima kasih banyak kerana masih meyakini perjuangan ini.
Buat seluruh jentera Barisan Nasional seluruh negara yang bertungkus lumus di Kemaman selama lebih 14 hari, sekalung penghargaan setingginya atas usaha dan ikhtiar.
“Kalah menang bukan alasannya”. Ada kala menang dan ada kala kalah. Ketika menang jangan angkuh dan ketika kalah jangan kecewa.
"InsyaAllah kita bina kembali kekuatan, kepercayaan dan keyakinan, serta meneruskan perjuangan yang belum selesai demi Islam, Bangsa dan Negara tercina" ujarnya di Facebook
Mengikut keputusan tak rasmi, Pas mendahului pengiraan undi di 228 peti undi dengan jumlah undi sebanyak 64,968 berbanding BN sebanyak 27,839 undi. (majoriti Pas menang PRU15 27,179).