Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ustaz di Kedah pula ditahan, sebar ugutan jenayah terhadap PM


KUBANG PASU: Polis menahan seorang ustaz berusia 43 tahun dipercayai mengeluarkan hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, guru sebuah sekolah agama di Kulim itu ditahan di rumahnya pada pukul 10 malam tadi setelah polis menerima lima laporan polis di seluruh negeri ini.

“Pada peringkat awal (hantaran ugutan), hanya dimainkan dalam grup Whatsapp selepas itu dimuat naik ke laman Facebook dan ia tular. Laporan dibuat oleh orang awam di Kedah, kita ada lima laporan setakat ini.


“Kita ambil tindakan daripada laporan pertama yang kita terima semalam pada pukul 5.33 petang di Balai Polis Kampung Tanjung IPD Padang Terap menunjukkan tangkap layar mengatakan ugutan kepada Perdana Menteri. Daripada ini, kita buat tangkapan ke atas suspek bersama telefon bimbit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial sejak semalam tangkap layar daripada satu grup Whatapps berbunyi, “ANUAR SEMAKIN GILA DAH NI… RATA2 ORG BERCAKAP BENDA NI MEMANG AGENDA ZIONIS.. DIA MEMANG SAH2 TALIBARUT ZIONIS… BOLEH BUNUH DAH DIA NI..” 

Tambah beliau, selain itu, polis turut menerima laporan sama daripada orang awam di Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kulim.

“Pengadu merasakan kenyataan tersebut suatu ugutan jenayah terhadap YAB PM dan berbaur politik. Suspek  ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kulim dan BSJD IPD Padang Terap di Kulim,” jelasnya.

Kata Fisol, polis memohon perintah tahanan reman terhadap suspek selama empat hari  dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKMM) yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000.

“Isu seperti ini tidak sepatutnya berlaku, satu ustaz keluarkan kenyataan yang membunuh. Jadi kita nasihat kepada semua penggemar WhatsApps ini kalau ada laporan dan benda itu jadi tontonan umum sehingga mendatangkan kegusaran ia adalah kesalahan,” katanya.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit suspek dan mengambil keterangan daripada orang awam yang membuat laporan. 

-UTUSAN