Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ambil dadah konon untuk kesan 'tahan lama' ketika bersama isteri


Klang: "Saya ambil syabu seminggu sekali saja untuk dapat kesan tahan lebih lama ketika 'bersama' isteri." Itu alasan penagih berusia 27 tahun yang ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sekitar Klang, di sini, hari ini.

Dalam serbuan bermula 10.30 pagi hingga 2 petang itu, pasukan JSJ Bukit Aman dibantu JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan IPD Klang Utara menahan 45 penagih termasuk bekas penjawat awam.


Empat port dadah yang digempur ialah di Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa, bawah jambatan Kampung Sammy, Pelabuhan Klang, tanah lot tidak bernombor Jalan Merpati, Taman Eng Ann dan Taman Bukit Kuda.

Lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berasal dari Manjung, Perak itu mendakwa, dia mula mengambil dadah sejak berusia 17 tahun dan beberapa kali ditahan yang mana kali terakhir keluar dari pusat pemulihan pada 2022.

"Saya dan isteri berpindah ke sini untuk bekerja, sementara anak dijaga keluarga mentua di kampung.

"Keluarga ingat saya sudah berhenti tetapi saya masih menagih dengan sekali beli berharga RM30 dan selepas menghisap dadah saya akan segar serta mampu berjaga tanpa tidur selama dua hari.

"Malah, saya juga ambil ketika ingin bersama isteri dan boleh bertahan lama," katanya ketika ditemui selepas ditahan di Jalan Sungai Jati.

Ketika serbuan ada penagih menyorok di dalam semak-samun bagi mengelak ditahan namun gagal.

Turut ditemui papan tanda dipercayai dibuat tokan dadah dengan tertera jenis dadah dijual iaitu ubat (RM40), batu (RM30) dan daun (RM30).

Sementara itu, Penolong Pengarah (Pencegahan) Judi dan Maksiat, Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Asisten Komisioner Muhammad Riduan Manap berkata, seramai 152 pegawai dan anggota dari JSJ Bukit Aman, IPK Selangor, IPD Klang Selatan dan Klang Utara terbabit dalam operasi hari ini.

Menurutnya, pihaknya melaksanakan empat serbuan serentak di port penagihan dadah yang mana seramai 45 lelaki berusia 25 hingga 27 tahun ditahan.

"Kebanyakan mereka adalah penagih tegar dan beberapa kali sudah ditahan serta pernah dihantar ke pusat pemulihan.

"Port dadah ini ada yang baru sebulan beroperasi dan ada yang sudah lima tahun di mana sudah banyak kali serbuan dijalankan," katanya pada sidang media selepas operasi.

Beliau berkata, semua tangkapan dibawa ke IPD Klang Selatan dan IPD Klang Utara dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.