Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Anggota tentera putus urat lengan ditetak tiga individu


Melaka: Anggota tentera berpangkat koperal cedera di pergelangan tangan kiri akibat ditetak dengan parang oleh tiga individu tidak dikenali, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku 9.30 malam ketika mangsa, 31, baru selesai mengeluarkan wang di bank di Sungai Udang, di sini.


Beliau berkata, mangsa menyatakan sejurus dia menaiki motosikal dan menghidupkan enjin tiba-tiba muncul tiga individu tidak dikenali yang menahannya sambil mengacukan parang ke pinggangnya.

"Dalam keadaan cemas itu pengadu dia terus menekan gear motosikal dan cuba melarikan diri sebelum terasa bahagian atas tangan kirinya terkena libasan parang suspek.

"Mangsa bagaimanapun terus melarikan diri dengan masuk ke kawasan perumahan serta meninggalkan motosikalnya di bahagian hadapan taman," katanya dihubungi di sini.

Christopher berkata, dalam keadaan kesakitan mangsa yang dikejar suspek terus berlari ke arah Balai Polis Sungai Udang untuk menyelamatkan diri.

Katanya, akibat tetakan itu mangsa mengalami keretakan atas pergelangan tangan kiri selain urat tangan putus dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

"Difahamkan kejadian serangan itu bukan bermotifkan samun sebaliknya mempunyai kaitan dengan masalah hutang.

"Namun, kita masih menyiasat motif sebenar kejadian kerana barangan milik mangsa termasuk wang tidak dilarikan," katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek juga giat dilakukan dan pihaknya merayu orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian untuk hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.