Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bapa rogol anak hingga hamil dipenjara 65 tahun, 35 sebatan


KUCHING: Seorang bapa yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun sehingga mengandung dihukum penjara 65 tahun dengan 36 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Iris Awen Jon membuat keputusan itu terhadap tertuduh, 51, dari Simunjan pada akhir kes pendakwaan.


Bagi pertuduhan pertama dan kedua, hakim menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak mulai hari ini.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dijatuhi hukuman 25 tahun dengan 12 sebatan dan hukuman itu berjalan berturut-turut selepas tertuduh menjalani hukuman akibat kesalahan pertama dan kedua.

Iris turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan semasa ditahan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017, selain mengarahkannya menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman mengikut Seksyen 27 SOACA 2017.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16 SOACA 2017 yang membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan, manakala Seksyen 16 SOACA 2017 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan minimum dua sebatan.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Simunjan pada Mac, April dan Mei 2020.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun membuat laporan polis bahawa dia dirogol bapanya sendiri berulang kali ketika ibu dan adik-beradiknya tiada di rumah.

Mangsa sebelum itu berdiam diri mengenai kejadian itu kerana takut memberitahu ibunya atau ahli keluarga lain disebabkan bapanya panas baran dan sering memarahi ibunya.

Mangsa kemudiannya membuat ujian kehamilan dan mendapati dia hamil.

Lelaki terbabit akhirnya ditahan pada 27 September 2020.

Berdasarkan siasatan lanjut, laporan ahli kimia bertarikh 13 Januari 2021, mangsa dilaporkan mengandung anak bapanya.

Kes itu menyaksikan lapan saksi termasuk mangsa, ibu mangsa, beberapa doktor dan polis.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.