Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Cikgu wanita ditemui mati dalam rumah sewa


KUALA TERENGGANU: Seorang guru wanita berusia 50-an ditemukan meninggal dunia di dalam rumah sewanya di Kampung Pengadang Baru, di sini, petang semalam.

Kejadian itu disedari pemilik rumah tersebut, Mohd. Asyraf Bakri, 30, yang ketika itu datang untuk meminta duit sewa bulanan selepas cubaan menghubungi mangsa sejak lebih seminggu lalu, gagal.

Menurut Mohd. Asyraf, mangsa bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah dan telah menyewa di rumah berkenaan seorang diri sejak 13 tahun.


Katanya, dia bersama ibunya pergi ke rumah mangsa namun mereka mula rasa tidak sedap hati setelah tiada sahutan dari dalam rumah sebelum cuba membuka tingkap.

“Setibanya di luar rumah memang terhidu bau kurang menyenangkan dan kami cuba mengintai melalui tingkap di sekeliling rumah namun tidak menjumpai apa-apa.

“Ketika saya membuka tingkap salah sebuah bilik, bau busuk yang sangat kuat menerpa dan saya hanya terbayang mangsa mungkin meninggal kerana terjatuh di bilik air.

“Kami menghubungi polis yang datang dan sebaik masuk ke dalam rumah, saya ternampak sekujur tubuh dalam keadaan berbaring seperti tidur di tepi dinding.

“Mangsa kurang bergaul dengan jiran malah pergerakannya juga banyak dengan kereta sewa, jadi ramai tidak perasan arwah tidak keluar rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 5.45 petang.

“Sebaik tiba ke lokasi kejadian, kami menemukan mayat seorang wanita di dalam rumah yang dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya. 

– UTUSAN