Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dah setahun tunggu usul undi tak percaya, PN tipu penyokong saja -Anwar


ISKANDAR PUTERI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa  pihak pembangkang tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan usaha menjatuhkan kerajaan Persekutuan sedia ada, sebaliknya hanya terus memainkan propaganda untuk menipu penyokong mereka.

Perdana Menteri berkata, ini kerana setelah setahun pentadbiran kerajaan Madani, masih tiada sebarang undi tidak percaya yang dibawa mana-mana ke Parlimen.


Justeru, menurutnya, usaha seperti wujudnya akuan bersumpah (SD) atau Langkah Dubai hanyalah politik cemas dimainkan sebelah pihak.

“Sudah lama kita tunggu (undi tidak percaya), setahun dah, hari-hari kita tunggu tetapi tiada,. Jadi, saya tidak mahu fikir lagi soal itu, saya tidak fikir mereka ada kekuatan untuk bawa (usul undi tidak percaya ke Parlimen).

“Itu tidak lain hanyalah propaganda untuk menipu penyokong-penyokong dia supaya jangan hilang semangat. Saya berbeza pendapat, tak mampu hilang semangat. Kalau tak boleh cuba bawa perubahan, dia harus bekerja untuk rakyat kerana akhirnya rakyat yang akan pilih,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat sini hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR turut menasihatkan kepimpinan parti dalam kerajaan Madani supaya terus memberi fokus terhadap usaha membangunkan negara dan bukan bermain politik.

“Saya nasihat Jemaah Menteri dan pimpinan kerajaan umumnya agar tumpu dan fokus untuk bangunkan negara. Tahun 2024, matlamat kita adalah pembangunan dan keutuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut komited dalam usaha membanteras rasuah dalam kalangan pemimpin dan individu berjawatan.

“Itu urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya tidak mahu orang anggap ini perkara yang kecil, baru atau lama memang tak boleh. 

“Orang kalau dia tak salah, tak perlu rasa bimbang kerana siasatan dibuat dengan teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya ada bukti yang kukuh. 

“Tetapi janganlah sesetengah orang anggap ini soal pihak tertentu dan sebagainya, kerana ini akan beri gambaran seolah-olah ada orang atau jerung-jerung besar terlepas. Saya tidak mahu mula memerangi rasuah dengan menekan yang di bawah,” tegasnya. – UTUSAN