Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Daim dan isteri pecat pasukan peguam, lapor sumber



KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan isteri Naimah Khalid, memecat pasukan peguam dilantik untuk pembelaan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait kedudukan kewangan mereka.

“Pasukan peguam itu ditamatkan khidmat pada Rabu atas perbezaan pandangan berhubung pengendalian kes pasangan berkenaan,” kata sumber kepada FMT.

Daim dan Naimah, kedua-duanya adalah peguam bertauliah dan pernah berkhidmat di Pejabat Peguam Negara. Daim masih memegang sijil amalan guaman.


Mereka sebelum ini melantik firma guaman Wong Kian Kheong sebagai peguam cara dengan pasukan peguamnya diketuai bekas peguam cara negara, Yusof Zainal Abiden, yang kini kembali berkhidmat sebagai peguam.

Peguam lain adalah M Puravalen, Yunos Shariff, dan Alex Tan.

Menurut sumber, pasukan tersebut dibentuk sebulan lalu.

“Susulan penamatan itu, Daim dan Naimah dijangka melantik firma guaman baharu dan peguam bagi mewakili mereka,” kata sumber itu lagi.

Ketika dihubungi, Tan dan Yunos enggan mengulas lanjut.

Pada Selasa, Naimah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM yang mengkehendakinya mengisytihar aset.

Beliau didakwa gagal mengisytihar pemilikan syarikat, beberapa plot tanah di sini dan Pulau Pinang, termasuk dua kenderaan.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000.

Awal bulan ini, SPRM berkata pihaknya memanggil Naimah dan dua anak lelaki, Amir dan Amin, untuk menjelaskan maklumat aset dimiliki keluarga itu.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata Daim “besar kemungkinan” didakwa minggu depan selepas dibenarkan keluar hospital.

Pada Rabu, Azam berkata SPRM sudah mendapat kebenaran daripada Pejabat Peguam Negara untuk membawa Daim ke mahkamah. Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tuduhan akan dikenakan terhadap Daim.


SPRM berkata, siasatan terhadap Daim bermula Februari 2023 dan berdasarkan maklumat Kertas Pandora, yang mengaitkan beberapa tokoh ternama negara dengan kawasan perlindungan cukai luar pesisir.

Daim dan keluarganya memfailkan permohonan di mahkamah bagi semakan kehakiman untuk mencabar siasatan, sambil menyifatkannya sebagai tidak mengikut Perlembagaan.