Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dua beradik yatim piatu menang saman RM1.12 juta


KOTA BHARU - Dua beradik yatim piatu yang mengalami kecederaan teruk selepas motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori milik sebuah agensi penyelamat di Jalan Pantai Damak, Bachok pada Jun 2022 diputuskan menerima pampasan keseluruhan sebanyak RM1.12 juta.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Ahmad Bazli Badruddin pada 9 Januari lalu setelah bukti yang dikemukakan oleh plaintif dan meneliti serta menimbangkan keterangan saksi-saksi sepanjang perbicaraan dan hujahan kedua belah pihak.


Menurutnya, defendan perlu bertanggungjawab penuh dan membayar ganti rugi kepada kedua-dua plaintif iaitu Awangku Syaiful Nizam Awangku Maidin, 26, dan adiknya Awangku Syakil Daniel, 19.

Peguam yang mewakili kedua-dua plaintif, Nor Anis Hisham berkata, mahkamah memutuskan defendan perlu membayar ganti rugi am dan khas kepada kedua-dua anak guamnya.

“Kemalangan yang berlaku tersebut telah mengakibatkan kesakitan dan kesengsaraan kepada kedua-dua plaintif.

"Plaintif pertama telah mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan manakala plaintif kedua mengalami kecederaan pada bahagian kepala, paha dan lain-lain kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Awangku Syaiful Nizam dan adiknya memfailkan saman terhadap anggota dan ketua pengarah sebuah agensi penyelamat serta kerajaan Malaysia pada Jun 2022 melalui Tetuan Kuay & Partners.

Dalam kejadian 13 Jun 2022, dua beradik itu menaiki motosikal jenis Honda RSX dirempuh lori milik sebuah agensi penyelamat yang memasuki ke laluan bertentangan.

Kemalangan itu menyebabkan Ag Ku Syaiful Nizam cedera pada betis kanan, pergelangan lengan kanan dan luka pada kaki kiri manakala adiknya cedera pada sebelah kanan kepala, paha kanan dan mulut.

Menerusi penyataan tuntutan yang dikemukakan oleh Ag Ku Syaiful Nizam dan Awangku Syakil, mereka meminta ganti rugi am sebanyak RM1.12 juta dengan kadar faedah 2.5 hingga 5 peratus termasuk pelbagai jenis kos dari tarikh kemalangan pada 13 Jun 2022 hingga 9 Januari 2024.

Naimi Syahira Mohamad selaku peguam Persekutuan mewakili defendan.