Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Gempar, Mahkamah Kuala Terengganu terima ancaman bom


KUALA TERENGGANU - Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu terpaksa dikosongkan selepas menerima ancaman bom pada pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihak polis menerima panggilan jam 7.20 pagi memaklumkan mengenai penemuan bungkusan mencurigakan di hadapan pintu pagar kompleks mahkamah berkenaan.


Menurutnya, sebaik menerima laporan itu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi itu terdapat bungkusan yang diletakkan di hadapan pintu pagar. Kita telah memeriksa bungkusan tersebut dan telah dimusnahkan.

"Pihak polis juga telah melakukan pemeriksaan dan pembersihan di kompleks mahkamah tersebut. Tiada sebarang ancaman lain ditemukan di kawasan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Khamis.

Polis mengesahkan bungkusan putih dijumpai di hadapan pagar Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu yang didakwa menyerupai bom tidak mempunyai unsur letupan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Unit Pemusnah Bom (UPB) di lokasi berkenaan mendapati bungkusan itu mengandungi kertas A4, bateri serta cebisan lampu suluh.

"Pihak polis dihubungi seorang pengawal keselamatan memberitahu terjumpa bungkusan mencurigakan berwarna putih.

"Hasil pemeriksaan mendapati ia dibalut kertas A4, mengandungi bateri serta disyaki mempunyai cebisan lampu suluh. Pihak polis telah bertindak memusnahkan barangan tersebut dan kita percaya ia tidak mempunyai unsur letupan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurut Mazli, barangan tersebut telah dihantar ke Unit Forensik untuk tindakan lanjut dan siasatan berhubung kes itu dijalankan dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menemui motif kejadian itu dan percaya bungkusan terbabit diletakkan oleh pihak tertentu di lokasi itu pada sebelah malam.

"Setakat ini kita belum dapat motif sebenar kejadian dan kita percaya ia diletakkan oleh individu tertentu pada waktu malam kerana ia ditemui pengawal keselamatan pada jam 6.45 pagi tadi.

"Pihak polis telah menjalankan pembersihan di seluruh kawasan dan mendapati tiada unsur-unsur yang boleh mengancam keselamatan di kompleks mahkamah itu.

"Bagaimanapun, kita akan teruskan rondaan dan pemantauan di kawasan terbabit," ujarnya.

Hasil tinjauan di lokasi kejadian mendapati sebahagian kawasan Kompeks Mahkamah Kuala Terengganu masih lagi ditutup sehingga jam 12.45 tengah hari.
Hasil tinjauan di lokasi kejadian mendapati sebahagian kawasan Kompeks Mahkamah Kuala Terengganu masih lagi ditutup sehingga jam 12.45 tengah hari.