Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isu pengampunan Najib tidak dibincangkan jemaah menteri


PUTRAJAYA – Mesyuarat jemaah menteri hari ini tidak membincangkan isu Lembaga Pengampunan membabitkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak boleh mendahului proses dan perkara mengenainya diserahkan kepada Lembaga Pengampunan.


“Kita tak bincang dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini, tapi lazimnya kita tidak boleh mendahului proses, kita serah Lembaga Pengampunan untuk itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jemaah menteri di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Lembaga Pengampunan dijadual membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan pada akhir bulan ini.

Menurut laporan itu, permohonan oleh bekas perdana menteri yang sedang dipenjarakan tersebut akan didengar dalam sesi lembaga yang dijadualkan pada minggu ketiga Januari.

Ini selepas perkara berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat bulan lalu kerana lembaga enam anggota memutuskan bahawa mereka memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan.

Mesyuarat yang akan datang itu akan menjadi antara tugas terakhir Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum baginda digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada akhir bulan ini. 

Sementara itu Fahmi berkata, beliau belum menerima apa-apa permohonan daripada pihak Najib berkenaan tindakan segera supaya filem dokumentari Man On The Run yang sedang ditayangkan di negara ini dikeluarkan daripada Netflix.

“Saya belum terima apa-apa maklumat mengenai perkara ini daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Saya difahamkan perkara ini dibangkit di mahkamah, sekiranya ada kita akan lalui proses sepatutnya, waktu ini saya belum terima,” katanya. – UTUSAN