Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lans Koperal rogol remaja Uzbekistan dalam kereta peronda


Ampang: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual ke atas seorang remaja perempuan warga Uzbekistan dalam kereta peronda polis, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, mengaku tidak bersalah sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.


Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, bapa kepada dua anak itu didakwa merogol, melakukan amang seksual fizikal, persetubuhan bertentangan aturan tabii dan hubungan seks ke atas remaja berusia 17 tahun itu tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu dilakukan dalam kereta peronda polis di tepi jalan Persiaran Saujana Ampang, di sini, jam 10.30 malam, 9 Januari lalu mengikut Seksyen 376(1), 377C, dan 377CA Kanun Keseksaan selain Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Tertuduh berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, peguam, G Visvanathan Nair yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

"Anak guam menanggung isteri dan dua anak berusia setahun dan empat tahun serta bapa dan ibunya masing-masing berusia 76 tahun serta 70 tahun.

"Tertuduh juga mempunyai penyakit saraf otot dinamakan 'Myasthenia gravis'," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Norshila membenarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan seperti diminta pendakwaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, Muhammad Fazrul Razzi dan Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, mengaku tidak bersalah melakukan pemerasan terhadap kekasih remaja itu yang juga berusia 17 tahun.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua anggota polis itu dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan iaitu satu rakaman video teman lelaki mangsa dan remaja Uzbekistan itu sedang bercumbu yang akan disebarkan hingga mendorong mangsa lelaki menyerahkan RM500 kepada polis berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Ampang Hillview, di sini, jam 10.09 malam, 9 Januari lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit, jika sabit kesalahan.

Peguambela Muhammad Adib Aikal, Kee Wei Lon memohon amaun jaminan munasabah terhadap anak guam dengan mengambil kira ia bertujuan memastikan kehadiran di mahkamah, manakala Visvanathan Nair menggunakan hujahan sama seperti di Mahkamah Sesyen.

Amalina Basirah membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 12 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, dua anggota polis ditahan pada 10 Januari kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam MPV Polis di sekitar Bukit Ampang di sini.

Polis mengesahkan menerima dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga asing yang juga penuntut di sebuah kolej swasta.

Kejadian dipercayai berlaku pada 9 Januari, jam 10.09 malam ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, ditahan oleh dua orang suspek lelaki yang lengkap beruniform.

Seorang daripada suspek disyaki merogol mangsa manakala rakan lelakinya pula dibawa seorang lagi suspek ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang bagi membuat bayaran diminta kedua-dua suspek.