Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lelaki tempatan ditemui mati dekat Damansara Perdana


PETALING JAYA – Lelaki tempatan ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan PJU 8/1, Bandar Damansara Perdana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.40 malam daripada orang awam.


Katanya, pengadu mendapati terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai telah menyambungkan wayar hos daripada ekzos kenderaan itu dan memasukkan hos tersebut ke dalam bahagian kereta.

“Turut dikesan kenderaan itu telah dikunci daripada dalam kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak ambulan dari Hospital Sungai Buloh tiba di lokasi telah mengesahkan kematian mangsa yang berusia 49 tahun.

Kata Fakhrudin, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

“Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Ketua Polis Balai Damansara, Inspektor Hafizzul Mohd Noor di talian 016-2236804 bagi membantu siasatan,” katanya.

-KOSMO