Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahkamah arah Mahfuz bayar ganti rugi RM250,000 kepada Sanusi


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berjaya dalam saman fitnahnya terhadap Mahfuz Omar berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Mahkamah Tinggi Alor Setar pagi tadi memerintahkan naib presiden Amanah itu membayar ganti rugi RM250,000 kepada pemimpin PAS tersebut.


Pada tahun 2020, Sanusi mengancam untuk memfailkan saman fitnah terhadap Mahfuz dan beberapa pemimpin politik berhubung dakwaan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Yusfarizal Yussoff dan Muhammad Faiz Fadzil, yang masing-masing mewakili Sanusi dan Mahfuz, mengesahkan keputusan hakim Arik Sanusi Yeok Johari.

Yusfarizal berkata mahkamah sivil membenarkan ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi teladan RM50,000.

Peguam itu menambah, mahkamah turut memerintahkan Mahfuz membayar kos RM30,000 kepada Sanusi.

Faiz bagaimanapun berkata mahkamah membenarkan permohonan Mahfuz untuk penangguhan sementara berhubung keputusan pembayaran ganti rugi, sementara menunggu pemfailan permohonan yang lengkap.

Katanya, penangguhan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahfuz juga diperintah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sanusi yang perlu diterbitkan di dalam satu akhbar Bahasa Melayu dan satu akhbar Bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Permohonan maaf juga perlu dimuat naik di akaun Facebook milik Mahfuz dan terma permohonan maaf perlulah disemak dan dipersetujui oleh Sanusi.


Saman itu adalah berhubung dakwaan bahawa Sanusi, yang juga pengerusi Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada), menerima sebuah MPV Toyota Vellfire hitam baharu dengan nombor plat KEP 5000 untuk kegunaannya.

Sanusi sebelum ini menafikan dakwaan itu, dengan menjelaskan bahawa pembelian kenderaan itu sebenarnya dilakukan oleh Jawatankuasa Perolehan Aset Sada secara dalaman dan mengikut had bajet yang ditetapkan.

Katanya, pembelian kenderaan terbabit dilakukan bagi kegunaan bersama ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan Sada.

Sebaliknya, dia berkata dirinya hanya menggunakan dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedez S320 yang dibeli bekas menteri besar, Mukhriz Mahathir sebelum ini.