Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mati tersepit pintu bank selama 6 jam


Shah Alam: Seorang lelaki tanpa identiti ditemukan meninggal dunia di hadapan pintu masuk ke ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah cawangan bank di Kota Kemuning dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima maklumat awam berkaitan seorang lelaki ditemukan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri, jam 7.29 pagi.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati, mangsa yang berusia 50-an hingga 60-an itu berbaring di hadapan pintu masuk ke ruang ATM, dipercayai dalam keadaan mabuk, jam 11.48 malam, semalam.


"Pada jam 12.01 tengah malam, pintu 'shutter' ruang ATM itu tertutup secara automatik menyebabkan leher mangsa tersepit antara pintu shutter dan lantai sebelum ia terbuka (secara automatik) jam 6 pagi.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa selain tiada unsur jenayah dalam kes itu.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrul di talian 012-3630512," katanya.