Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MB Pahang beri air percuma kepada B40


Kerajaan Pahang memperkenalkan Rebat Air Makmur (RAM) bagi membantu golongan sasar iaitu B40 meminimumkan kesan pelarasan tarif air yang akan berkuat kuasa Februari ini, dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.6 juta setahun.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata antara manfaat RAM ialah pemberian air percuma kepada golongan B40 yang menggunakan air tidak melebihi 12 meter padu sebulan dan tiada kenaikan caj bayaran bagi golongan itu yang menggunakan air antara 13 meter padu hingga 24 meter padu sebulan.


Selain itu, RAM juga melibatkan pemberian rebat bulanan sebanyak RM10 sebulan bagi memastikan kenaikan adalah minimum untuk golongan terlibat yang menggunakan air 25 meter padu dan ke atas.

"Jumlah keseluruhan golongan sasar yang menerima manfaat RAM yang diberikan secara automatik ialah 38,000 orang terdiri daripada penerima bantuan e-Kasih dan i-Damak serta penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP)," katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Wan Rosdy berkata pengguna yang berada dalam golongan sasar, namun tidak menerima rebat secara automatik boleh memohon dan menyemak di kaunter pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) daerah.

RAM yang dipersetujui menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang hari ini, menurut Wan Rosdy menunjukkan kerajaan negeri mendengar pandangan pelbagai pihak semasa pelarasan tarif air tidak dapat dielak bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.


"PAIP sebagai operator perkhidmatan bekalan air juga diminta meningkatkan mutu perkhidmatan, merangka perancangan strategik dan seterusnya mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat.

"Kerajaan negeri tidak melakukan penyelarasan tarif air selama 40 tahun dan sudah tiba masanya kerajaan negeri memulakan langkah bagi memastikan keterjaminan, meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan bekalan air pada masa hadapan," katanya.

- Bernama