Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peniaga kosmetik terjun Sungai Kelantan masih belum dijumpai (video)


Pasir Mas: "Selepas sembilan bulan tidak berjumpa, saya dikejutkan dengan berita adik terjun sungai dan jasadnya belum ditemukan sehingga kini," kata Sukardi Ismail.

Dalam kejadian jam 6.48 petang semalam, Norhisyam Ismail, 43, dikhuatiri lemas selepas terjun dari Sungai Kelantan di Jambatan Tendong, di sini.


Sukardi, 47, berkata, kali terakhir dia berhubung adiknya April lalu dan mengetahui kejadian yang menimpa adiknya selepas tular di media sosial malam tadi.

"Saya bergegas pulang ke Kelantan dari Kedah selepas mengecam kereta Mercedes adik yang disertakan bersama maklumat seorang lelaki terjun sungai di media sosial.

"Walau tidak berhubung secara langsung, saya tahu perkembangan adik menerusi media sosial dan tidak menyangka dikejutkan dengan berita begini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Sukardi berkata, mengikut ahli keluarga lain, adiknya tidak mempunyai masalah berkaitan hutang dan kesihatannya juga baik malah tidak menunjukkan kecenderungan mengalami masalah mental.

Katanya, adiknya menjalankan perniagaan kosmetik bersama isteri di pasar borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu dan mempunyai empat anak berusia tiga bulan hingga 18 tahun.

"Kami sekeluarga memohon orang ramai agar tidak membuat apa-apa spekulasi dan kami juga melakukan solat hajat pagi tadi memohon agar adik ditemukan sama ada dalam keadaan hidup atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, adik tiri mangsa Mohd Redzuan Mohd Zaki, 35 berkata, dia difahamkan abang sepatutnya membuat pembentangan kewangan kepada kumpulan peniaga sebuah tapak pasar malam, malam tadi.

Bagaimanapun, dia menerima panggilan daripada anak mangsa yang memberitahu bapanya terjun sungai sebelum ke lokasi kejadian.

"Saya juga diberitahu abang sempat menelefon bapa mentuanya supaya datang ke jambatan ini kerana keretanya dikatakan rosak, namun sebaik tiba kelibat abang tidak kelihatan.

"Menurut saksi, dia ternampak abang di dalam sungai dalam keadaan tenggelam timbul," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Kelantan, Zainal Madasin berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini membabitkan pencarian di permukaan sungai serta selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Setakat ini belum ditemukan sebarang petunjuk lagi dan operasi yang dibuat berpandukan kepada lokasi mangsa terjun petang semalam dengan radius pencarian sekitar 100 meter (m)," katanya.

video: