JAKARTA - Sekurang-kurangnya 71 kakitangan terlibat Pemilihan Umum (Pemilu 2024) di Indonesia yang berlangsung pada minggu lalu dilaporkan meninggal dunia.
Ketua Komisis Pemilihan Umum (KPU), Hasyim Asy’ari pada Isnin memaklumkan data diperoleh mereka menunjukkan kira-kira 4,000 jatuh sakit antara 14 dan 18 Februari lalu akibat keletihan melampau.
Pilihan raya pada kali ini terus meragut nyawa walaupun pemerintah telah mengenakan had umur terhadap sukarelawan dan mewajibkan pemeriksaan kesihatan setelah lebih 500 staf pusat mengundi meninggal dunia pada Pemilu 2019.
Pemilihan serentak dalam tempoh sehari yang disifatkan terbesar di dunia itu melibatkan kira-kira lima juta kakitangan yang ditempatkan di 800,000 tempat pemungutan suara (TPS).
Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang juga calon presiden (Capres) No. Siri Dua diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2024) berdasarkan data kiraan cepat.
Bagaimanapun keputusan rasmi akan diumumkan pada 20 Mac depan. - Agensi