TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew
memberitahu mahkamah di sini bahawa dia ada menghantar mesej kepada pendakwah terkenal itu menerusi aplikasi Instagram (IG).
Pengadu yang merupakan saksi kesembilan dalam pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin turut mendedahkan isi kandungan mesej yang dihantar kepada Ebit Lew pada 14 April 2021 di IG.
Pendedahan itu dibuat susulan daripada tangkap layar gambar mesej di aplikasi WhatsApp yang dibacanya satu persatu dan diminta untuk menjelaskan maksud mesejnya 'maaf saya sibuk' dan 'sudah mesej di IG'.
Antara isi kandungan mesej pengadu kepada Ebit Lew ialah pengadu sudah tidak mahu menghubungi pendakwah itu lagi tetapi tidak berasa senang hati kerana rasa berdosa dengan perbuatannya.
"Berdosa sangat pada suami sebab di belakang dia saya layan ustaz, sedihnya. Dulu tengok ustaz, mesti panggil suami tengok sama-sama, abang ikutlah macam ustaz Ebit.
"Sekarang sudah kosong, kadang tengok terbayang yang bukan-bukan. Pernah tengok beronani, memang menangis dan tidak senang hati," katanya di Mahkamah Majistret Tenom, di sini pada Khamis.
Katanya lagi, Ebit Lew tidak meminta maaf kepadanya kerana melakukan perkara sedemikian kepadanya.
"Mesej ini cuma nak cakap je, langsung tidak minta m dengan saya, sebab pernah buat yang tidak sepatutnya dengan saya, paksa saya bagi gambar macam-macam. Bodohnya saya ikut.
"Yang saya tidak sangka kenapa ustaz, saya pujuk juga hati tengok semua video, tidak apa. Ustaz orang baik tolong orang. Tapi bila dengar ceramah ka apa, memang tidak sangka sangat dah buat macam itu dengan saya.
"Entahlah mungkin pasal saya perempuan dan tidak biasa buat macam itu jadi saya teringat-ingat dan tidak senang hati rasa sangat berdosa.
"Yang sangat sedihnya, dah bawa saya buat macam itu terus buat tidak tahu je. Tidak apa kalau minta maaf dan kita dengan haluan masing-masing
"Saya kalau ikut sudah tidak mahu langsung mesej atau WhatsApp sebab nak elak benda yang tidak baik itu tapi nak juga luah. Nasib saya lah kan. Dapat simpan benda aib ini. Kalau orang mungkin sudah viralkan, tapi tak apa saya masih fikir lagi ustaz ini orang kenal," katanya.
Pengadu kemudian meneruskan lagi bacaannya bahawa jika pendakwah itu meminta maaf dengannya mungkin tidak membawa kepada anggapan yang buruk.
"Tahu tak, saya rasa sangat-sangat menyesal. Kenapalah layan, kenapa kita berhubung, berWhatsApp semua. Kalau dulu idola saja, suka tengok buat kerja itu ini.
"Sekarang kalau boleh tidak mahu tengok, sedih. Kenapa idola itu bawa jadi pendosa," katanya.
Pengadu sebelum itu diarahkan untuk menunjukkan isi kandungan telefonnya kepada mahkamah termasuk kepada barisan peguam dan tertuduh berkenaan mesej perbualan di dalam Instagram bersama seorang pemilik akaun 'ebitlew'.
Pengadu dalam pada itu turut membaca salah satu gambar tangkap layar yang memaklumkan bahawa dia sempat membuat tangkap layar termasuk wajah pendakwah tersebut.
"Tiada maknanya ustaz. Syukur saya sempat 'screenshot' semua gambar termasuk yang ada muka ustaz. Entahlah, saya tidak juga jahat, tapi sebab cara ustaz buat orang sakit hati, buat macam saya ini pelacur.
"Tidak apalah supaya jadikan pengajaran, tidak nampak baik kat depan je. Kalau ikut suami memang tidak. Tapi cara ustaz ini sakitkan hati orang," katanya.
Ajak tukar pasangan
Sebelum itu, saksi memberitahu mahkamah bahawa Ebit Lew mengajaknya bertukar pasangan untuk melakukan hubungan intim.
Saksi memberitahu perkara itu semasa menjelaskan tentang tangkap layar teks WhatsApp yang diterima, Ebit mengajaknya bertukar pasangan.
Ebit mencadangkan perkara itu agar dia boleh melakukan hubungan intim dengan pengadu sementara suami pengadu pula, disuruh melakukan hubungan intim bersama isteri beliau.
Dalam tangkap layar yang lain pula, pengadu memberitahu Mahkamah bahawa Ebit turut mengeluarkan kata-kata lucah dengan menyatakan hendak peluk, cium manja-manja dan melakukan perkara tidak senonoh kepadanya.
Kemudian pengadu membalas mesej sebegitu dengan menyatakan Ebit mempunyai isteri dan mesti dia ada hubungan suami isteri di rumah jadi kenapa perlu buat lagi kepadanya.
Apabila Ebit mengajaknya bertukar pasangan, pengadu memberitahu bahawa dia tidak akan dan suaminya pun tidak akan melepaskannya.
Malah, apabila membaca ayat tidak senonoh yang diterima daripada Ebit, pengadu turut merasa malu kerana ayat yang ditulis agak memalukan dan pengadu sendiri yang sudah bersuami pun tidak pernah tulis atau cakap ayat seperti yang Ebit tulis.
Menurut saksi tersebut, dia turut menghantar teks WhatsApp untuk menasihati Ebit agar melakukan taubat nasuha dan jangan buat perkara sebegitu dengan orang lain kerana Ebit adalah seorang yang terkenal.
“Aib ini saya seorang sahaja yang simpan, macam awak cakap, kita manusia biasa. Lagipun saya isteri orang. Tak apalah ini ujian hidup saya, ada suami macam ini, saya sabar sahaja demi anak,” katanya.
Dalam keterangannya saksi juga memberitahu mahkamah dalam teks WhatsAppnya dia rasa kasihan kepada Ebit sebab tertuduh seorang yang terkenal jadi, dia pesan jangan Whatsapp orang lain macam begitu sebab kalau tular, tertuduh sendiri yang malu.
Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak. -KOSMO