Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isu kejatuhan ringgit bukan alat 'sepak terajang' politik -Anwar


PUTRAJAYA: Jangan jadikan isu kejatuhan ringgit sebagai alat "sepak terajang" politik sehingga tidak bersandarkan kepada fakta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu, dengan kadar inflasi dan pengangguran menurun, selain pertumbuhan ekonomi dapat dipertahan dalam keadaan dunia berdepan kelembapan ekonomi.


"Walaupun ada masalah ringgit tapi pelaburan pada tahun lalu tertinggi dalam sejarah. Kadang-kadang orang lupa, bila jadi isu politik, dia nak hentam saja.

"Jika dunia tidak ada keyakinan, pelaburan tentunya perlahan. Kita bimbang kalau ringgit jatuh, kemudian inflasi naik, pertumbuhan terbantut, pelaburan tak dapat, itu kita bimbang tapi sekarang semua angka dan data ekonomi menunjukkan kita di landasan yang betul.

"Sebab itu, sementara kita cari jalan untuk perbaiki, janganlah jadikan ini sebagai sepak terajang politik sehingga tidak berdasarkan kepada fakta," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan "Restu Global Quranic Arts Festival (ReQAF) 2024" anjuran Yayasan Restu dan melancarkan buku "Adab Madani" di Kompleks Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa.

Kelmarin, Perdana Menteri memaklumkan, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lalu, iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022.

Daripada jumlah itu, pelaburan asing adalah penyumbang utama, iaitu sebanyak 57.2 peratus, manakala pelaburan domestik adalah 42.8 peratus.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menggunakan mata wang ringgit dalam perdagangan dengan beberapa negara sebagai antara langkah mengurangkan kesan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini termasuk dengan China, yang menjadi rakan dagangan terbesar, dengan 25 peratus dagangan menggunakan Ringgit dan Renminbi, selain 18 peratus dengan Indonesia menggunakan Ringgit dan Rupiah serta 20 peratus dengan Thailand menggunakan Ringgit dan Baht.

"Kalau guna Ringgit dan matawang China, Renminbi, maka isu Dolar ini tidak ada kesan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mahu budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran terus diperluas bagi melahirkan generasi al-Quran.

"Generasi al-Quran ini, dia baca, faham dan amalkan. Kalau tidak, kita ada kesenjangan atau perbedaan. Kita bicarakan mengenai keadilan tapi kita tolak ansur dengan penyelewengan, kezaliman dan rasuah yang berlaku.

"Pendirian saya dalam Kerajaan Madani, saya tidak mahu tolak ansur lagi mengenai prinsip tata keloka, bersihkan negara daripada rasuah, di mana pemimpin, bila naik jadi pemimpin, dia kira macam mana nak kaut habuan dan tidak fikirkan nasib rakyat," katanya.

ReQAF 2024 dengan tema "Gaya Hidup Islami" berlangsung dari 23 Februari hingga 3 Mac ini di Kompleks Nasyrul Quran, bertujuan mempromosi Islam sebagai sebahagian gaya hidup, selain menggalakkan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam terhadap al-Quran melalui medium seni.