KOTA TINGGI: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menafikan wujud gerakan didakwa didalangi oleh ketua-ketua bahagian parti itu untuk menggulingkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, Mohamed Khaled menjelaskan, beliau tidak tahu bagaimana dakwaan itu boleh timbul ketika pucuk pimpinan parti sedang berusaha menyelesaikan isu berbangkit, termasuk berkait pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
"Surat kalau ditandatangani (oleh ketua bahagian UMNO) pun, Presiden tidak akan terguling.
"Jadi, buat apa hendak tandatangan surat... mana ada," katanya yang juga Menteri Pertahanan, kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, hari ini
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilapor turut menafikan dakwaan terdapat usaha menggulingkan Ahmad Zahid oleh ketua-ketua bahagian parti itu.
Ahmad dipetik berkata, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, telah berusaha sebaik mungkin bagi mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib yang sedang menjalani hukuman penjara sejak 2022.
Ditanya mengenai kemarahan akar umbi UMNO susulan keputusan Lembaga Pengampunan itu pula, Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, ia adalah hak mutlak dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.
"UMNO memahami dan mengaku ia (keputusan Lembaga Pengampunan) adalah kuasa mutlak budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
"Walaupun ada ribut dan desakan, ia di luar apa yang kita boleh lakukan. UMNO menerima dan menghormati keputusan itu. Bagaimanapun kita akan terus berusaha memohon pengampunan untuk Najib," katanya.