BEKAS perdana menteri Najib Razak sangat kesal dengan keputusan Lembaga Pengampunan, menurut anak perempuannya Nooryana Najwa.
Katanya, Najib kecewa kerana tidak diberikan pengampunan penuh, dan hanya hukuman penjara dikurangkan separuh dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
"Hampa, teramat kecewa," kata Najib menurut Nooryana apabila dia bertanyakan perasaannya.
"Anda tahu, Yana, perasaan yang paling teruk adalah apabila anda terkejut dan tiada sesiapa di sekeliling untuk bercakap.
"Anda hilang dalam fikiran anda, bersendirian," kata Najib seperti yang ditulis anaknya.
Nooryana telah menyampaikan perbualan mereka melalui satu kiriman di Instagram semalam selepas melawatnya di penjara Kajang.
Najib pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi berhubung kes rasuah RM42 juta SRC International.
Dia juga didenda RM210 juta.
Hukumannya diringankan oleh Lembaga Pengampunan ketika bermesyuarat Isnin lalu.
Walaupun hukuman yang dikurangkan meletakkan tarikh pembebasannya pada Ogos 2028, Najib boleh dibebaskan lebih awal atas 'kelakuan baik' pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga daripada hukumannya.
Pemimpin Umno juga melahirkan rasa kecewa kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh.
Beberapa yang lain juga tidak berpuas hati dengan keputusan itu, walaupun dalam nada yang berbeza.
Bekas pengarah operasi khas SPRM Bahri Mohd Zin (gambar atas), yang memainkan peranan penting dalam siasatan kes SRC International, berkata dia amat terkejut dengan keputusan Lembaga Pengampunan memandangkan Najib sedang menghadapi empat lagi pertuduhan jenayah di mahkamah.
"Adakah selepas ini tertuduh akan diampunkan lagi andainya dia didapati bersalah," soalnya.
Katanya lagi, keputusan lembaga pengampunan mengurangkan separuh hukuman terhadap Najib menunjukkan perbezaan layanan antara golongan kaya dan yang memiliki kuasa dengan rakyat kebanyakan.
Sementara itu, bekas pemimpin DAP Tony Pua pula seakan mempersendakan keputusan Lembaga Pengampunan.
Pemuda Umno mahu membuat laporan polis terhadap Pua kerana 'biadab' apabila menyoal Lembaga Pengampunan mengenai rayuan pengampunan Najib.