KUALA LUMPUR: Lebih kurang seratus peserta himpunan #Reformasi100Peratus yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mula berarak ke bangunan Parlimen.
Perhimpunan aman itu yang rata-ratanya berbaju hitam dan kuning bertujuan mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi 100 peratus.
Antaranya, mereka mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.
Bersih juga menuntut supaya had tempoh jawatan perdana menteri dihadkan, seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, mereka juga mahu Akta Hasutan dimansuhkan, selaras dengan janji pilihan raya PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim.
Peserta mula berkumpul di pekarangan Tugu Negara, sekitar 7.30 pagi tadi. Namun, jumlah anggota polis dan media jauh mengatasi kehadiran peserta.
Semalam, Bersih menyerahkan notis makluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, untuk mengadakan perarakan ke parlimen, hari ini.
Notis itu sebagai jawapan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berhubung isu notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Antara mereka, termasuk beberapa pemimpin Bersih termasuk pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Kira-kira sejam kemudian peserta mula berarak ke bangunan Parlimen sambil diiringi oleh ratusan anggota polis dan wartawan.
Mereka turut membawa sepanduk dan kain rentang yang antaranya tertulis “Reformasi 100%”, “Malu Apa Madani” dan “No DNNA”.
Peserta himpunan bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan pekarangan Parlimen. Sebaliknya mereka hanya dibenarkan berada di tepi jalan, Jalan Parlimen.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong menjadi wakil rakyat pertama menerima memorandum Bersih dan diikuti Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim sekitar jam 9.15 pagi.
Sementara itu, Hassan dalam ucapan ringkasnya berkata dia akan meneruskan tuntutan reformasi di Parlimen seperti yang dituntut rakyat.
"Saya tidak ada apa kepentingan, bila mati (meninggal dunia), saya akan tenang kerana reformasi ini akan diteruskan oleh orang lain.
"Kita kena berani menyatakan yang benar, membawa perubahan (walaupun) tidak mudah, terutama ujiannya apabila ksudah berkusa," katanya.
Manakala Leong mengambil pendirian untuk tidak mengulas lanjut.
Muhammad Faisal pula dalam ucapannya berkata rakyat mengharapkan perubahan dapat dilakukan demi kebaikan semua.
“Kita tidak boleh gelar diri sebagai pejuang kalau kita tidak ada keberanian untuk bertindak. Harap ada perubahan ke arah kebaikan. Tolak DNAA,” katanya ringkas.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas ia merujuk kepada pelepasan tanpa pembebasan yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam pertuduhan rasuahnya, tahun lalu.
Peserta kemudiannya mula bersurai pada jam 10 pagi tadi.