Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Prosiding komital terhadap Isham Jalil didengar 4 Mac



Permohonan Peguam Negara bagi memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil yang didakwa menghina mahkamah akan didengar pada 4 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata pada prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nur Azizah Jaafar hari ini, mahkamah mengarahkan pendakwa raya memfailkan hujahan pada atau sebelum 29 Feb ini.


“Pendengaran permohonan itu akan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin,” katanya ketika dihubungi.

Dalam permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan pada 28 Dis tahun lepas, Peguam Negara turut memohon agar mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham atau nama sebenarnya, Hizatul Isham Abdul Jalil.

Permohonan itu difailkan atas alasan Isham telah mengucapkan kata-kata berbentuk penghinaan kepada mahkamah dalam satu temu bual bertajuk Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa? yang disiarkan di laman Facebook The Malaya Post pada 30 Sept tahun lepas.

Peguam Negara mendakwa dalam temu bual itu, Isham telah mempersoal proses perbicaraan dan rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isham turut didakwa mempertikai proses pendengaran permohonan penarikan diri Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini serta proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International.

Peguam Negara juga mendakwa perkataan yang diucapkan oleh Isham telah mengaibkan Badan Kehakiman dan boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap institusi kehakiman.

- Bernama