Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Wanita saman salon kecantikan selepas suntik silikon besarkan payudara


Kuala Lumpur: Hasrat seorang perunding jualan memiliki payudara besar bertukar mimpi ngeri apabila terpaksa membuang kedua-dua payudaranya menerusi pembedahan pada Januari lalu.

Ia selepas dia berdepan kesakitan serta mempunyai ketulan pada payudara akibat mengambil suntikan silikon kira-kira 20 tahun lalu.

Mangsa mahu dikenali sebagai Chan, 48, berkata, dia melakukan prosedur itu yang dibuat oleh pakar kecantikan yang tidak bertauliah.


"Pada mulanya, saya membuat rawatan muka dengan pakar kecantikan itu, namun dia mengesyorkan saya menjalani prosedur suntikan silikon.

"Dia memberitahu kos bagi suntikan terbabit hanya RM5,000 dan saya setuju menjalani prosedur berkenaan di salon kecantikan itu," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong serta Penasihat Undang-Undang jabatan itu James Ee.

Menurutnya, dia mula melihat ketulan pada payudaranya kira-kira lima tahun selepas prosedur berkenaan sebelum merasai kesakitan tidak lama selepas itu.

"Tahap kesakitan itu tidak tertanggung sehingga saya saya sukar tidur. Pada 2022, saya pergi ke hospital swasta dan melakukan mamogram serta ultra bunyi, tetapi tiada apa-apa luar biasa dikesan pada payudara saya.

"Akhirnya saya melakukan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) dan diberitahu oleh doktor bahawa ketulan itu disebabkan silikon berkenaan," katanya.

Chan berkata, dia kemudian pergi berjumpa dua pakar bedah plastik dari hospital sama yang menasihatkannya supaya membuang payudara atau terpaksa hidup dalam kesakitan sepanjang hayat.

"Apabila semua seperti tiada harapan, seorang rakan mengesyorkan saya pergi ke luar negara untuk menjalani pembedahan mengeluarkan silikon itu.

"Saya menjalani pembedahan mengeluarkan silikon itu di Vietnam pada Januari lalu membabitkan kos sebanyak RM25,000.

"Nasib baik pembedahan itu berjalan lancar dan saya bertuah kerana masih hidup meskipun kehilangan kedua-dua payudara.

"Ia sekali gus menyebabkan saya berani tampil berkongsi kisah ini kepada orang ramai,"katanya.

Sementara itu, Michael Chong berkata, prosedur kecantikan atau pembedahan plastik yang dijalankan oleh individu tidak berlesen akan memudaratkan kesihatan pesakit.

"Kami mendapati ada banyak kes wanita terpedaya dengan iklan pembedahan kecantikan di media sosial termasuk suntikan silikon yang akhirnya memakan diri mereka.

"Orang ramai yang mahu menjalani pembedahan atau prosedur kecantikan dinasihatkan supaya melakukan prosedur itu dengan pengamal perubatan bertauliah," katanya.