MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua kapal tangki yang sedang memindahkan minyak tanpa kebenaran di perairan Kuala Linggi, di sini petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, penahanan pada kira-kira pukul pukul 4.30 petang dan 6 petang itu susulan pusat operasi menerima maklumat terdapat aktiviti mencurigakan pada kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Dahan.
Menurutnyha, bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Murni/Op Tiris/Op Khas Pagar Laut kemudian diatur gerak ke kawasan berkenaan sebelum melihat dua kapal dalam kedudukan rapat antara satu sama lain.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal tangki itu sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak mentah kepada sebuah lagi kapal tangki lain tanpa sebarang dokumen kebenaran untuk melakukan aktiviti Ship To Ship (STS).
“Kapal tangki pertama sepanjang 60 meter berdaftar di Panama dikendalikan 26 kru termasuk nakhoda membabitkan 16 warga China, Sri Lanka (empat) dan Myanmar (enam),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kapal tangki kedua berukuran 43 meter panjang pula didaftarkan di Palau membawa 22 kru termasuk nakhoda iaitu 19 warga Rusia manakala masing-masing tiga lagi dari Georgia, Latvia dan Indonesia
“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.
“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(1)(K) OPS1952,” katanya. – MalaysiaGazette.