Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Berbaki lagi dua hari, padang Stadium Bukit Jalil masih rosak




KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil masih belum berada pada tahap terbaik berbaki dua hari sebelum perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Oman pada Selasa ini.

Ia berdasarkan rakaman dron seorang pemilik YouTube keadaan terkini padang tersebut pada Sabtu yang masih rosak, bertompok dan berpasir pada beberapa bahagian rumput.


Keadaan terkini itu sudah tentu agak membimbangkan kerana akan menjejaskan rentak aksi kedua-dua pasukan selain Harimau Malaya memerlukan kemenangan selepas tewas kepada Oman di Muscat Jumaat lalu.

Sebelum ini, pemilik akaun sama memuat naik keadaan padang pada 12 Mac lalu yang kelihatan mengalami kerosakan teruk selepas stadium tersebut digunakan untuk konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.



Situasi padang terkini itu mungkin lebih baik berbanding rakaman dron pertama itu, namun tidak berada pada tahap yang memuaskan untuk perlawanan bola sepak.

Bagaimanapun, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac memberikan bayangan keadaan padang itu dapat diperbaiki menjelang perlawanan tersebut.

Beliau melalui Instastory miliknya turut tidak sabar menunggu hari perlawanan tersebut selain mengajak orang ramai memenuhi stadium menyaksikan aksi Harimau Malaya.

PSM juga telah melibatkan tenaga pakar selepas konsert tersebut untuk memastikan keadaan padang dalam keadaan terbaik.

sumber: SINAR