BATU PAHAT – Kakak kepada Bella atau Mila Sharmila Samsusah yang mati dibunuh teman lelakinya, ditahan bagi membantu siasatan kes berhubung laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penahanan dibuat ke atas wanita berusia 37 tahun itu susulan laporan dibuat seorang ahli keluarga tertuduh pada Khamis lalu.
“Laporan polis itu dibuat seorang wanita menyatakan gambar anaknya berusia empat tahun yang merupakan saksi pendakwaan bersabit satu kes pembunuhan di Batu Pahat telah disebarkan melalui siaran langsung di aplikasi TikTok.
“Susulan itu, sekitar pukul 2.10 pagi, Rabu, polis telah menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun semasa tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk membuat siaran langsung TikTok tersebut bagi siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ismail lagi suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat dan dibenarkan reman selama sehari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001.
Terdahulu, hadir bersama peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan dan beberapa ahli keluarga termasuk suaminya.
Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan yang hadir ketika prosiding reman berkata, anak guamnya itu direman sehari selepas mahkamah menolak permohonan pegawai penyiasat untuk reman tiga hari.
“Sebaliknya, anak guam kami langsung tidak mendedahkan muka seperti mana didakwa dalam laporan dibuat sebelum ini. Ketika proses permohonan reman, kami mengemukakan beberapa sebab kenapa anak guam tidak boleh direman terlalu lama.
“Kalau nak tahan reman, mesti ada sebab tetapi alasan dikemukakan pegawai penyiasat tidak membawa kepada sebab munasabah. Sebab itu mahkamah benarkan permohonan reman sehari terhadap anak guam kami,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Batu Pahat, hari ini. – KOSMO! ONLINE