Dalam suasana geopolitik yang semakin tegang di Laut China Selatan, Malaysia berada di persimpangan yang kritikal. Maka, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan “We do not have a problem with China” menimbulkan kebimbangan yang mendalam di kalangan rakyat Malaysia.
Bagaimana mungkin seorang pemimpin tertinggi negara dapat mengabaikan tindakan agresif Kapal Peronda China yang secara berulang kali menceroboh perairan Malaysia di Sarawak dan Sabah?
Kedaulatan dan keselamatan negara seharusnya menjadi keutamaan utama bagi setiap pemimpin.
Namun, kenyataannya, kapal-kapal Kapal Peronda China secara berani telah menceroboh perairan Malaysia yang kaya dengan sumber petroleum, bahkan membawa kapal penerokaan untuk melakukan pencarian di kawasan tersebut.
Kejadian ini bukan hanya sekali dua, tetapi berulang kali secara terlalu kerap terjadi, menunjukkan sikap kurang hormat China terhadap kedaulatan Malaysia.
Statistik yang perihal ini sangat membimbangkan. Pada tahun 2019, Kapal Peronda China berada di dalam perairan Malaysia selama 258 hari dari 365 hari dalam setahun.
Pada bulan Julai 2023, mereka menceroboh selama dua minggu di perairan berdekatan Sarawak. Dan pada Februari 2024, insiden serupa terjadi lagi. Ini menunjukkan betapa terbukanya China menganggap perairan Malaysia sebagai wilayah mereka.
Selain itu, pada bulan Jun 2021, setelah 16 pesawat tentera China menceroboh ruang udara Malaysia, Kapal Peronda China datang dan menceroboh lagi perairan Malaysia berdekatan Beting Patinggi Ali.
Ini bukanlah tindakan seorang ‘teman’ tetapi lebih kepada tindakan seorang ‘musuh’ yang tidak menghormati kedaulatan negara lain.
Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menerima “guard of honor” dan pelaburan berbilion hasil usaha diplomasi di China, perairan Malaysia masih terus diceroboh. Ini menimbulkan pertanyaan besar: Adakah ini cara China membalas persahabatan Malaysia? Jika ya, ini adalah persahabatan yang sangat berbahaya.
Rakyat Malaysia berhak mengetahui tindakan apa yang akan diambil oleh Perdana Menteri untuk menghadapi ancaman ini. Bukanlah tindakan yang bijaksana untuk menutup mata dan mencangkan “We do not have a problem with China” ke seluruh dunia tatkala wujudnya masalah yang jelas ada di depan mata.
Langkah pencegahan yang mesti segera diambil adalah dengan menambah aset pertahanan, khususnya kapal untuk TLDM dan APMM, agar kita mempunyai ketumbukan armada yang cukup untuk mengawasi dan menghalau Kapal Peronda China dari perairan kita.
Namun, keadaan aset TLDM dan TUDM sekarang adalah membimbangkan, dengan 75% kapal TLDM yang usang dan berumur lebih dari 40-50 tahun, serta jumlah jet pejuang dan helikopter TUDM yang tidak mencukupi untuk melindungi seluruh Malaysia.
Negara-negara jiran seperti Singapura lebih ke hadapan dalam menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan perolehan aset tentera mereka berjaya, dengan memiliki 100 jet pejuang di samping kapal-kapal laut modennya.
Malaysia harus mengambil contoh dari negara-negara ini dan meningkatkan belanjawan pertahanan (kini 1-2% daripada keseluruhan) serta memastikan ketelusan dalam perolehan aset tentera.
Natijahnya, Malaysia memang mempunyai masalah dengan China, dan masalah ini harus diakui dan ditangani dengan serius oleh kepimpinan tertinggi negara.
Kita tidak boleh berpura-pura bahawa semuanya baik-baik saja ketika kedaulatan dan keselamatan negara kita terancam. Perlu ada keinsafan bahawasanya aset ketenteraan kita perlu penambahbaikkan segera bagi menguatkan kedudukan kita dalam sebarang rundingan diplomasi.
Akhir kata, memetik kenyataan Jeneral Tan Sri Ghazali Che Mat pada tahun 1987, “Diplomasi yang tidak disokong oleh kekuasaan ketenteraan tidak mungkin menghasilkan kesan baik terhadap negara”. Seperti pepatah Latin, “Si vis pacem, para bellum” – jika kita menginginkan perdamaian, kita harus bersiap untuk perang. -SUARA.TV