Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lelaki hina kalimah Allah dipanggil polis


KOTA KINABALU – Lelaki yang dipercayai membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah dalam isu stoking dijual di sebuah pasar raya sudah dipanggil polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan lelaki itu sudah dipanggil ke balai polis untuk pertanyaan awal.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai komen seorang individu yang menggunakan akaun Facebook ‘Ricky Shane CA’ yang memuat naik komen berbaur penghinaan di bawah pautan berita dalam talian New Strait Times (NST) mengenai stoking tertera kalimah Allah.

Menerusi satu lagi hantaran di media sosial tidak lama selepas hantaran pertamanya, lelaki itu memuat naik permohonan maaf kepada umat Islam atas segala komen yang ditulisnya.

Beliau juga mengaku sebagai seorang mualaf yang baharu dua tahun memeluk Islam dan masih perlu belajar banyak perkara lagi berkaitan agama itu.

Sementara itu, portal Buletin TV3 menyebut, orang ramai yang mengetahui identiti lelaki terbabit dilihat menunggu di luar sebuah kondominium yang dipercayai menjadi tempat tinggal individu itu.

Ia menyebabkan lokasi berkenaan turut tular di media sosial.

Dalam video itu juga kedengaran suara orang bercakap mengatakan bahawa dia tidak dapat menerima perbuatan lelaki itu walaupun individu terbabit meminta maaf.