Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Mohd Isa, 75, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda di Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.