Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hafizul Hawari ditahan bersama pistol, berlaku pergelutan -KPN



KOTA BHARU - Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan bersama pistol di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Bayam di sini pada Isnin.

Suspek, Hafizul Hawari, 38, ditahan di lokasi yang hanya beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada jam 3 petang.


Sumber berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

"Ketika ditahan berlaku pergelutan dan suspek seorang diri.

"Polis turut merampas sepucuk pistol daripada suspek," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan selepas melarikan diri lebih daripada 24 jam, akhirnya suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang berjaya diberkas polis, pada Isnin.


Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan suspek ditangkap di Kota Bharu, Kelantan pada jam 3 petang.