Kedua-dua mangsa didakwa didera menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas hingga menyebabkan badan luka dan melecur.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kejadian itu disedari oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika didatangi mangsa berusia 13 tahun yang menjual burger di sebuah premis di daerah ini, jam 12 tengah hari, pada 2 Mac lalu.
Katanya, lelaki itu menyedari terdapat kesan luka seperti kesan terkena seterika pada badan kanak-kanak terbabit disyaki didera.
"Menyedari keadaan mangsa seperti didera, dia kemudian membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun ditahan di rumah sewa mereka di pekan Keningau, petang tadi.
"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah peniaga burger," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut turut mendapati seorang lagi mangsa lelaki berusia lima tahun turut didera oleh kedua-dua suspek.
"Mangsa berusia 13 tahun itu adalah anak tiri kepada suspek wanita. Kedua-dua mangsa tiada sebarang talian persaudaraan dan dipelihara oleh kedua-dua suspek.
"Manakala mangsa berusia lima tahun adalah anak angkat kedua-dua suspek," katanya.
Yampil berkata, siasatan mendapati kejadian dera itu dipercayai berlaku di rumah sewa suspek antara 24 Mac 2024 hingga 30 Mac 2024.
"Mangsa berusia 13 tahun dipercayai didera menggunakan seterika beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering. Kejadian itu dilakukan suspek kerana mendakwa mangsa menipu menghabiskan jualan burger.
"Selain itu, mangsa turut dipukul menggunakan kayu dan batang besi pada belakang badan manakala mangsa berusia lima tahun disiram menggunakan air panas di atas lantai.
"Mangsa juga dipaksa berdiri di atas air panas hingga kedua-dua kakinya melecur. Selain itu mangsa turut dipukul menggunakan besi di bahagian belakang badannya.
"Mangsa turut ditekap dengan seterika oleh suspek wanita pada bahagian kiri dan kanan tangan serta belakang badan hanya kerana lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait dadah.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. -BH Online