PETALING JAYA: Majlis Raja-Raja digesa memulakan inkuiri terhadap kandungan afidavit difailkan difailkan Zahid Hamidi melibatkan tindakan mahkamah dibuat Najib Razak berkait proses pengampunannya, gesa bekas hakim bersara.
“Ini pertama kali dalam sejarah politik dunia yang mana timbalan perdana menteri sedia ada mendakwa kerajaannya sendiri menyembunyikan perintah dikeluarkan ketua negara,” kata bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer kepada FMT.
Katanya, kandungan afidavit “berpotensi menjejaskan kedaulatan undang-undang”.
“Mengambil kira afidavit yang kini ada di domain awam, Majlis Raja-Raja sepatutnya mengambil tahu tentangnya dan mengarahkan inkuiri sewajarnya terhadap kandungannya,” kata Hamid.
Beliau berkata, inkuiri sedemikian boleh dilaksanakan secara bebas daripada prosiding mahkamah sedang berjalan dan tidak akan dianggap subjudis.
Bagaimanapun, Hamid berkata keputusan mahkamah bukan pilihan baik menyelesaikan pertikaian proses undang-undang, termasuk juga rayuan, yang mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk selesai.
Katanya, “sangat penting” raja-raja bertindak segera bagi memuaskan hati mereka berkait kebenaran apa didakwa dalam afidavit, sambil menambah majlis tersebut diberi kuasa berbuat demikian oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 38 memperuntukan raja-raja bagi penyelesaian menangani perkara sensitif,” katanya.
Peruntukan terbabit memberikan raja-raja – Yang di-Pertuan Agong, sembilan sultan dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, dan Sarawak – kuasa mutlak memberikan ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman.
Pada Julai 2020, Najib disabit Mahkamah Tinggi terhadap sembilan pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang melibatkan RM42 juta dana SRC International. Beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.
Sabitan dan hukumannya kemudian dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Susulan keputusan mahkamah atasan itu, Najib menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2023.
Bagaimanapun, pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan empat hari sebelum itu mengurangkan separuh hukuman penjara Najib dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.
Lembaga itu juga mengumumkan Najib, 70, akan dibebaskan dari Penjara Kajang, pada 23 Ogos 2028.
Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman, Najib mendakwa Yang di-Pertua Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada 29 Jan, mengeluarkan “perintah tambahan”, yang dikatakan membenar bekas perdana menteri menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Dalam afidavit pada 9 April menyokong permohonan Najib pada, Zahid mengesahkan melihat paparan imej dikatakan “perintah tambahan”, pada 30 Jan. Presiden Umno itu berkata, perintah berkenaan wujud dan sahih, namun menyatakan beliau tidak mempunyai salinan.
Salinan afidavit dikemukakannya, yang timbul pada Rabu, secara meluas tersebar dalam talian.
Mengulas pendedahan Zahid, Hamid berkata raja-raja mesti melakukan inkuiri perintah sedemikian dikeluarkan, dan jika ada, kenapa ia tidak dilaksanakan kerajaan.
“Saya berpandangan, melainkan kerajaan mempunyai penjelasan boleh diterima, kegagalan melaksanakan perintah adalah prima facie sama seperti pelanggaran pegawai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap sumpah jawatan mereka,” katanya.